Sejarah PSGB
Pengenalan dan Sejarah Pertubuhan Seni Gayong Bersatu (PSGB)
- Pertubuhan Seni Gayong Bersatu (PSGB) telah ditubuhkan secara rasminya pada tanggal 6 Oktober 2021 dengan no. pendaftaran PPM-028-10-06102021 di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan negeri Selangor. Pendaftaran ini adalah bertaraf Kebangsaan bercawangan.
- PSGB adalah merupakan penjenamaan semula dari Pertubuhan Gayong Amerika Malaysia (USGF Malaysia) yang berdaftar pada tahun 2018. Penjenamaan semula ini adalah perlu untuk menjadikan pertubuhan ini lebih ‘Malaysia’ dan ‘Melayu’. ini kerana USGF Malaysia telah dilihat dan disalahertikan oleh sesetengah pihak sebagai pertubuhan yang condong kepada bangsa Amerika.
- Sewaktu operasi persilatan dijalankan di bawah nama Pertubuhan Gayong Amerika Malaysia (PGAM) yang juga, pada masa itu adalah sebuah pertubuhan bertaraf kebangsaan, PGAM dan kemudiannya PSGB telah diasaskan oleh Cikgu Sheikh Shamsul bin Tan Sri Dato’ Hj S.M. Salim yang merupakan salah seorang daripada beribu anak Gayong warisan Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman (ADMAR), Mahaguru Silat Seni Gayong.
Sejarah Pertubuhan Gayong Amerika Malaysia (PGAM)
- Sejarah penubuhan PGAM bermula pada tahun 1981 apabila abang kepada Cikgu Sheikh Shamsul iaitu Cikgu Dr. Sheikh Shamsudin bin Tan Sri S.M.Salim (“Cikgu Sam”) menjejakkan kaki ke bumi Amerika Syarikat buat pertama kali, bagi meneruskan pelajaran di dalam bidang Teknologi Maklumat.
- Namun, hanya pada tahun 1988, setelah beliau mula bekerja di Chicago sejurus selepas melengkapkan program ijazah, beliau mula kembali aktif di dalam latihan Silat Seni Gayong. Untuk tujuan tersebut, beliau memerlukan rakan untuk berlatih, namun tiada pengamal silat pada masa itu. Yang ada cuma seorang pengamal Hapkido Korea warga Amerika. Maka, mereka bersetuju untuk berlatih bersama dan berkongsi teknik-teknik masing-masing. Mereka juga bertukar-tukar ilmu antara persilatan dan Hapkido.
- Latihan mereka mula menarik minat penduduk setempat yang kemudiannya menyertai sesi latihan mereka di ruangan kecil rumah Cikgu Sam di Chicago yang lama-kelamaan menjadi sempit. Apabila Cikgu Hapkido itu membuka sekolah (Dojo) bagi melatih Hapkido, beliau membenarkan Gayong untuk berlatih di tempat yang sama. Maka bermulalah perjalanan Gayong di negara ‘Uncle Sam’ ini secara tersusun dan terperinci.
- Beberapa tahun kemudian, Cikgu Sheikh Shamsul pula menyertai Cikgu Sam di Chicago dan bermulalah episod perkembagan Silat Seni Gayong dengan lebih luas di bumi Amerika ini.
- Seperti sang helang melebarkan sayapnya dan menerjah angin membelah awan bagi menjelajah dunia Amerika itu, dua bersaudara ini berlatih Silat Seni Gayong di padang-padang awam dan taman-taman rekreasi setempat dan mula mengembangkan Silat Seni Gayong melalui demo-demo di Sacramento, Denver, Rhode Island serta kawasan kejiranan di Chicago sendiri. Mereka berdua di kenali sebagai dua bersaudara di dalam seni mempertahankan diri Malaysia (‘the two Malaysian brothers in martial arts’).
- Apabila Cikgu Sheikh Shamsul dipanggil pulang ke tanahair, Cikgu Sam meneruskan misi memperkembangkan ilmu Silat Seni Gayong di Amerika. Di waktu itu, beliau sudah bertugas sebagai pensyarah sambilan di Kolej Universiti of Dupage. Kolej tersebut menawarkan program seni mempertahankan diri seperti Tae Kwan Do, Tai Chi, Karate dan Aikido namun tiada program dari Asia Tenggara yang ditawarkan.
- Melihat kepada peluang yang terbentang luas ini, Cikgu Sam terus membuat kertas cadangan memohon membuka gelanggang Silat Seni Gayong di kolej tersebut. Berminat dengan cadangan tersebut, pihak universiti telah meluluskan Silat sebagai salah satu kursus akademik pada tahun 2005. Kursus ini berterusan sehingga ke hari ini.
- Mengembangkan sayap ke bumi Amerika telah mendapat sokongan dan restu dari Almarhumah Cikgu Siti Kalsom (Rokiah bt Naning) Waris Amanah Silat Seni Gayong dan Almarhum Cikgu Razali Saleh, Setiausaha Agong PSSGM Malaysia. Majlis perkenan dan restu tersebut dibuat di Malaysia pada tahun 1991 sewaktu Cikgu Sam dan Cikgu Sheikh Shamsul pulang bercuti, disaksikan oleh nama-nama besar di dalam Silat Seni Gayong iaitu Almarhum Datuk Adi Wijaya, Cikgu Kahar Redza, Cikgu Rasol Abd Ghani, Cikgu Faid Musa dan Almarhum Cikgu Ezhar Abas.
- Bermula dari itu, Gayong mula terkenal dan aktif di Kolej Universiti of Dupage sehingga timbul keperluan untuk menamakan kumpulan ini. Setelah berbincang dengan gurulatih dari Malaysia serta mendapat persetujuan pesilat-pesilat yang sedia ada di Amerika, inisiatif pendaftaran United States Gayong Federation (USGF) telah dibuat.
- Di daftar pada tahun 1991 sebagai “federation”, Cikgu Sam berharap agar Gayong dapat diiktiraf di kesemua 51 negeri di Amerika. Walaubagaimanapun, USGF masih menggunakan lambang Gayong Malaysia sehingga kemudiannya lambang USGF dicipta. Dari situ, Silat Seni Gayong terus berkembang sehingga ke hari ini di serata Amerika.
- Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, namun tempat jatuh lagi dikenang, tempat lahir apatah lagi.
- Cikgu Sam dan Cikgu Sheikh Shamsul dalam perbincangan mereka mula melihat keperluan mengadakan cabang USGF di tanahair kerana menyedari bahawa ramai ahli-ahli USGF di kalangan pelajar-pelajar dan kakitangan bertugas, yang berasal dari Malaysia akan kembali ke tanah air. Keperluan untuk kesinambungan pembelajaran dan latihan perlu dibuat dan diteruskan.
- Cikgu Sheikh Shamsul diamanahkan untuk mengepalai USGF di Malaysia, terutama dengan tertubuhnya Pertubuhan Gayong Amerika Malaysia (PGAM) pada April 2018. Bermula dengan hanya 12 jawatankuasa tertinggi, PGAM kemudiannya telah berkembang ke negeri Kedah dan Selangor. Ahli-ahli terus bertambah dari negeri-negeri tersebut termasuklah jumlah bilangan gelanggang-gelanggang setempat.
- PSGB seperti juga PGAM, telah mendapat limpah perkenan daripada Bonda Hajah Fadhillah binti Dato Meor Abdul Rahman, Waris Mutlak Zuriat Mahaguru Silat Seni Gayong, untuk meneruskan legasi ADMAR melalui pentas PSGB.
- Segala persiapan pentadbiran kebangsaan dan negeri-negeri diperkemaskan bagi menyambut lebih ramai ahli-ahli baru agar segala pengurusan keahlian, kegurulatihan serta adat-adat Gayong legasi ADMAR dapat diteruskan dan diperkembangkan dengan lebih sistematik. PSGB kini telah mempunyai Lembaga Beradat Kebangsaan, Majlis Gurulatih Kebangsaan serta Majlis Jawatankuasa Pentadbiran Tertinggi Kebangsaan.
- Usaha sedang giat dijalankan untuk mendaftar sebagai ahli PESAKA dan DSSM bagi memperkukuhkan lagi kewujudan PSGB di dalam dunia persilatan Melayu di tanahair serta di peringkat antarabangsa. Terkini, PSGB telah berjaya didaftarkan sebagai Ahli Badan Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan yang sah mulai 13 Januari 2024.
- Sehingga hari ini, PSGB telah berkembang kepada 4 cawangan yang didaftarkan iaitu cawangan negeri Selangor, negeri Melaka, negeri Kedah, negeri Perak dan cawangan Putrajaya yang akan menyusul tidak berapa lama lagi.

