Kata-kata Aluan Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan
MOHD RIDHWAN BIN RAMLI
Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan
Bersyukur ke hadrat Allah SAW atas limpah Kurnia serta Rahmatnya yang telah memberikan ilham bagi menzahirkan seni mempertahankan diri milik pusaka bangsa melayu kepada Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman Bin Daeng Uda Mohd Hashim dengan diberi nama “Silat Seni Gayong”.
Ilmu ini disebarkan melalui guru-guru lama Gayong, generasi ke generasi sehingga ke segenap pelusuk dunia. Kepelbagaian seni juga corak penyususan serta cara penyampaiannya telah diperturunkan kepada gurulatih serta anak-anak gayong yang berhak. Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Pengerusi bersama-sama Ahli Majlis Gurulatih Kebangsaan Pertubuhan Seni Gayong Bersatu yang telah diamanahkan oleh Dr Sheikh Shamsul Salim juga diperkenan oleh abang beliau Dr Sheikh Shamsudin Salim bagi mengurustadbir Majlis Gurulatih Kebangsaan PSGB sehingga kini. Alhamdulillah, terima kasih kepada kedua ibu-bapa serta isteri dan anak-anak yang sentiasa memberi semangat dan dorongan dalam usaha ini, serta kepada semua guru saya yang telah membimbing serta menurunkan pelajaran supaya dapat pula saya berkongsi bersama ahli-ahli Pertubuhan Seni Gayong Bersatu, semoga Allah mengampuni segala dosa dan merahmati kedua ibu-bapa serta guru-guru saya dunia juga akhirat.
Syukur dan terima kasih juga kepada Bonda Siti Fadhilah binti Dato’ Meor Abdul Rahman kerana telah berkenan memberi izin sanad ilmu zahir mahupun batin dalam menjaga serta mengembangkan Silat Seni Gayong ini. Pelajaran Seni Gayong telah melalui perubahan dan penambahan dari guru ke guru yang telah berupaya dalam membentuk susunan kebolehupayaan seseorang pesilat dengan pengalaman hasil dari proses pembelajaran dan mengajar yang lama serta latihan yang kerap, ianya juga salah satu cabang ilmu laduni yang diterima guru tersebut dalam istiqomah dalam mengembangkan ilmu Gayong ini. Walaupun Gayong telah berkembang dengan pelajaran-pelajaran yang disusun serta ditambah baik bagi memudahkan proses seperti tahap kecekapan juga susunan pelajarannya, namun seni asli juga perlu dipelihara supaya menjadi tanda hak milik permainan Gayong.
Sebagai contoh Gayong terkenal dengan Kuncian dan Kasar dalam permainannya. Adab berguru serta menyantuni guru bagi memperolehi atau meminang ilmunya dari susur galur sanad yang jelas adalah satu perkara yang dituntut supaya kesinambungan pelajaran Gayong itu dipelihara dari segi Adap mahupun Adat. Gayong mencari kawan bukan lawan, itulah aturan kita dalam pendirian seorang muslim dengan bersikap sentiasa bersedia, begitu juga di dalam asas Gayong walaupun dalam keadaan menanti memerhati gerak lawan gerak dalam firasat serang sebelum sampai serangan. Di dalam dunia silat yang semakin berkembang dengan pertandingan, persembahan & di dalam media sosial pesilat Gayong harus fahami Seni permainan Gayong supaya tidak terikut dengan permainan silat yang lain kerana dikhuatiri akan hilang “Asu” dalam Gayong yang dibawa. Bersatulah kita di dalam menjaga mengembangkan serta memartabatkan pusaka bangsa kita ini dalam wadah yang bersih suci dengan niat yang wangi bagi mencerminkan keperibadian seorang mukmim Melayu yang teguh serta cantik Imannya dengan berlandaskan agama Islam.
Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan
Pertubuhan Seni Gayong Bersatu

